Sunday 15 March 2015

Peranan Niat Dalam Latihan

 Tugasan Blog SYW501
Oleh : Siti Shafia binti Subrai
P-SM0054/14

Artikel ini ditulis untuk menjelaskan keperluan niat dalam setiap perbuatan dan amalan seharian khususnya dalam konteks pelaksanaan latihan. Latihan merupakan satu bentuk tugas membimbing manusia untuk meningkatkan kemahiran dalam pelbagai kegiatan yang dilakukan. Dalam skop yang lebih luas, bidang latihan dan pembangunan kini mampu menjadi sumber mata pencarian bagi masyarakat Islam khususnya. Islam juga mentakrifkan kerja sebagai tuntutan yang wajib dilaksanakan bagi meraikan dasar kesamarataan yang diamalkan untuk menghapuskan perbezaan darjat. Situasi ini membolehkan seluruh umat Islam keluar mencari rezeki dari pelbagai sumber bagi meningkatkan taraf hidup. 
Firman Allah yang bermaksud :-
“Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan..”
Surah Al Aaraf 7:10)

Allah juga berfirman:-
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang dan nyata bagi kamu.
(Surah Al Baqarah 2:168)

Dalam firman-Nya lagi yang bemaksud:-
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramal lah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".
(at-Taubah 9 : 105)        

Namun demikian, setiap  pekerjaan harus dimulai dengan niat termasuklah dalam memberi dan menerima latihan. Perkara ini amat perlu kerana niat merupakan  lintasan hati yang menjadi titik tolak untuk mendorong manusia melakukan sesuatu pekerjaan atau amalan. Sabda Rasulullah SAW:- 


Oleh itu, niat menjadi indikator yang menentukan baik dan buruknya sesuatu amal yang dikerjakan. Niat itu mestilah ikhlas kerana Allah seperti yang dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:-
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”
(Surah Al An’am 6:162)

Niat juga mempunyai kepentingannya yuang tersendiri iaitu :-
1.  Menyempurnakan
Niat menentukan sahnya ibadah kerama niat adalah rukun. Tanpa niat, tidak sempurna amalan. Dalam konteks latihan juga perlu disertai dengan niat hanya kerana Allah, pencipta sekalian alam. Niat amat penting bagi menjamin keberkatan dalam setiap pekerjaan. Apabila segala pekerjaan dilakukan kerana Allah, mudah-mudahan segala urusan akan dipermudahkan Allah jua.

  2.     Mengubah
Hanya dengan niat, amal yang baik mampu menjadi buruk dan tidak bernilai disisi Allah. Sebagai contoh, melatih dan menjalani latihan itu adalah perkara yang baik. Namun sekiranya latihan itu dijalani untuk menunjukkan bahawa diri sendiri lebih berkemahiran berbanding manusia lain seterusnya meraih pujian, maka amal atau pekerjaan (latihan) yang sedang dilakukan tidak dikira sebagai kebaikan dan amat dipandang hina oleh Allah.

  3.      Membezakan

Niat dalam amalan berperanan membezakan antara adat dan ibadah. Dalam konteks latihan umpamanya, ia merupakan keperluan dalam budaya kerja kerana setiap pekerja memerlukan latihan untuk membangunkan kerjaya mereka. Lazimnya, pihak majikan menyediakan latihan yang perlu pekerja ikuti. Itu adalah adat. Namun sekiranya latihan itu bertujuan meningkatkan produktiviti kerja demi memenuhi tuntutan Islam untuk bekerja kerana Allah, maka latihan yang dijalani juga akan dikira sebagai ibadah.

 4.      Melipatgandakan

Perbuatan atau kerja yang kecil boleh menjadi besar dan mendapat ganjaran yang berlipat ganda disisi Allah. Dalam konteks  latihan, sekiranya seseorang itu menjalani dan memberi latihan dengan niat untuk saling berkongsi ilmu dan kemahiran serta ia dilakukan semata-mata kerana Allah, yakinlah nilai sumbangannya adalah amat besar pada pandangan Allah.

Oleh itu, setiap umat manusia perlulah memelihara niat dalam setiap amalannya tanpa mengira waktu sama ada sebelum, semasa dan selepas melakukan sesuatu amal atau pekerjaan tersebut. Penekanan terhadap perkara ini mesti diambil perhatian lantaran betapa banyaknya amal yang kecil menjadi besar kerana niat dan betapa banyaknya amal yang besar menjadi kecil kerana niat.

Betulkan niat, sempurnakan ibadat.
Wallahua’lam.

RUJUKAN:-
Solech Machsuni (1991). Konsep Ibadah Dalam Kerja. Diakses pada 8 Mac 2015 daripada http://demimasa2.tripod.com/artikel6

Rushdi Ramli (2010). Nilai Ibadat Dalam Perbuatan- Perbuatan Harus (Al Af 'al al Mubahah): Tinjauan Terhadap Pemikiran Imam Ahmad Ibn Taimiyah. Journal of Fiqh, No. 7 (2010) 149-166

Jamaluddin Halid (2009). Kerja Sebagai Ibadah. Diakses pada 15 Mac 2015 daripada http://www.slideshare.net/guestaeb86d1/kerja-sebagai-ibadah?next_slideshow=1

No comments:

Post a Comment