Sunday 12 April 2015

Latihan Sebagai Pemacu Kesatuan Ummah

Tugasan Blog SYW501
Oleh : Siti Shafia binti Subrai
P-SM0054/14

Artikel ini ditulis untuk  menyingkap peranan latihan sebagai pemacu kesatuan ummah. Dalam era modenisasi ini khususnya, latihan  berperanan penting dalam aspek sosial. Perkara ini seiring dengan harapan negara yang berhasrat untuk melahirkan masyarakat yang produktif..Berikutan itu latihan dilihatsebagai salah satu usaha untuk mencapai matlamat tersebut. Peranan latihan dalam aspek sosial dapat digambarkan melalui fungsi- fungsi latihan itu sendiri, iaitu :-

1. Memajukan diri insan


Latihan dapat  membantu memajukan diri insan kerana latihan tidak tertumpu kepada melatih para pekerja sahaja tetapi juga golongan remaja yang menjadi pelapis untuk membagunkan masyarakat. Kemahiran yang dimiliki oleh seseorang remaja akan berperanan sebagai nilai tambah dalam diri merka lantaran kemajuan masyarakat bermula dari dalam diri seseorang insan. GIATMARA misalnya, merupakan sebuah agensi yang memberi latihan kepada golongan bumiputera muslim khususnya untuk meningkatkan kemahiran melalui pelbagai kursus latihan yang ditawarkan. Hal ini termasuklah bidang pembuatan, automotif, kemahiran menjahit dan sebagainya. Kemahiran yang dimiliki kelak akan dapat meningkatkan kebolehan dan produktiviti untuk memenuhi keperluan masyarakat dalam pelbagai bidang seterusnya menyatukan  ummah itu sendiri. Situasi ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud :-

2. Agen sosialisasi  insan

Latihan juga berupaya menjadi agen sosialisasi insan. Perkara ini tergambar melalui kebersamaan sesuatu kumpulan umat masyarakat ketika menjalani latihan. Situasi ini dapat dilihat melalui latihan dalam kumpulan yang memerlukan perkongsian idea antara ahli kumpulan berkenaan. Percambahan idea yang wujud apabila saling berkongsi pendapat semasa menjalani latihan menjadikan mereka saling mengenali, mudah bekerjasama untuk mendapatkan hasil kerja yang lebih baik. Keadaan ini seterusnya meningkatkan keyakinan diri insan dan memupuk kemahiran untuk bermasyarakat. Perkara ini boleh diaplikasikan dalam kehidupan melalui penyertaan dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan di sekeliling kita. Galakan untuk menyertai pelbagai aktiviti sebegini mampu menjadi agen sosialisasi bukan hanya semasa menjalani latihan sebaliknya untuk jangka panjang yang akhirnya menyatukan ummah.

3. Menjana sumber pendapatan

Latihan turut berperanan untuk menjana sumber pendapatan umat Islam Kepakaran yang dimiliki hasil dari latihan akan membantu meningkatkan pendapatan  umat melalui perniagaan. Terdapat sebuah hadis yang sering digunakan bagi menggalakkan masyarakat Islam menceburi bidang perniagaan. Hadis tersebut dicatatkan oleh Imam al Ghazali di dalam kitabnya yang terkenal, Ihya’ ‘Ulumuddin:-


Hadith ini mursal sebagaimana disebut oleh Al Iraaqi dalam takhrij Ihyaa' 2/79.

Situasi ini dapat menyatukan ummah kerana mereka saling melengkapi dalam usaha memenuhi keperluan dan kehendak masing-masing di samping melaksanakan tuntutan fardhu kifayah yang dianjurkan oleh Islam.

4. Memakmurkan bumi Tuhan

Latihan juga berperanan sebagai mekanisme untuk memakmurkan bumi Allah. Hal ini bertepatan dengan salah satu elemen tasawur Islam iaitu sumber alam sebagai makhluk Allah SWT. Allah SWT adalah Pencipta dan Pemilik segala sumber alam. Walaupun sumber alam itu diciptakan oleh Allah SWT dan menjadi hak mutlak-Nya. Namun begitu, kesemuanya ditundukkan Allah SWT untuk kegunaan manusia. Allah SWT mencipta sumber alam bertujuan supaya manusia beriman dan sedar tentang sifat Allah SWT yang Pengasih dan Penyayang (Muhammad Syukri Salleh 2003c:63). Sumber alam ini juga sebagai tanda nikmat dan ujian Allah SWT terhadap manusia dan makhluk lain. Oleh yang demikian, manusia perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik untuk mengurus sumber alam berlandaskan syariat Islam. Dalam konteks latihan, hal ini menunjukkan bahawa kemahiran yang dimiliki memberi peluang kepada kita untuk memakmurkan bumi Allah melalui perniagaan umpamanya sekali gus  memanfaatkan sumber alam yang dikurniakan untuk saling memberi manfaat kepada insan lain seterusnya membawa kepada penyatuan ummah.

Sebagai kesimpulan, keperluan terhadap latihan amat penting dalam aspek sosial  kerana ia memacu ke arah penyatuan ummah. Perkara ini digambarkan dalam peranan-peranan latihan yang memberi kesan mendalam bermula dari dalam diri insan itu sendiri untuk dipupuk secara berterusan ketika keberadaannya bersama masyarakat dalam usaha membangunkan dan mengukuhkan penyatuan umat Islam dalam pelbagai aspek.

Latihan Berkesan Meningkatkan Kemajuan Komuniti Insan
Wallahua’lam.

RUJUKAN:-
Muhammad Syukri Salleh (2003). Tujuh Prinsip Pembangunan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Edition Sdn. Bhd.

Monday 6 April 2015

Solat dan Hubungannya Dengan Latihan Dalam Kehidupan


Tugasan Blog SYW501
Oleh : Siti Shafia binti Subrai
P-SM0054/14


Artikel ini ditulis untuk melihat secara khusus hubungan antara solat dan latihan dalam kehidupan seharian. Solat adalah ibadah agung yang dibuka dengan takbir dan ditutup dengan salam, Solat juga adalah ibadah yang terpenting setelah dua kalimah syahadah. Pada hakikatnya umum mengetahui bahawa solat lima waktu merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat. Kewajipan menunaikan solat lima waktu dinyatakan dalam firman Allah yang berikut :-

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(An-Nisa 104:3)

Terdapat pelbagai sebab turunnya perintah kewajipan bersolat. Sabda Rasulullah yang bermaksud:-

Barangsiapa yang mengerjakan soalat tanpa membaca Ummul Qur’an di dalamnya, maka solatnya masih mempunyai hutang dan tidak sempurna” Tiga kali. Ditanyakan kepada Abu Hurairah,” Kami berada di belakang imam?” Maka dia menjawab, “Bacalah Ummul Qur’an dalam dirimu, kerana aku mendengar Rasulullah bersabda, ‘Allah berfirman, ‘Aku memerintahkan solat antara Aku dengan hamba-Ku, dan hamba-Ku mendapatkan sesuatu yang dia minta. Apabila seorang hamba berkata, ‘Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam.’ Maka Allah berkata, ‘Hambaku memujiku.’ Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Yang Maha pengasih lagi Maha Penyayang.’ Allah berkata, ‘Hambaku memujiku.’ Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Pemilik hari kiamat.’ Allah berkata, ‘Hambaku memujiku.’ Selanjutnya Dia berkata, ‘Hambaku menyerahkan urusannya kepadaku.’ Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Hanya kepada-Mu aku menyembah dan hanya kepada-Mu aku memohon pertolongan.’ Allah berkata, ‘Ini adalah antara Aku dengan hambaku. Dan hambaku mendapatkan sesuatu yang dia minta’. Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Berilah kami petunjuk jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat atas mereka, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula orang-orang yang sesat.’ Allah berkata, ‘Ini untuk hambaku, dan hambaku mendapatkan sesuatu yang dia minta.” (HR. Muslim no. 598)

Solat mempunyai pelbagai hikmah dan fungsinya yang tersendiri.Antara fungsi- fungsi solat adalah sebagai latihan kepada seorang insan untuk:-

1.  Mematuhi peraturan

Solat dapat melatih manusia untuk mematuhi peraturan. Solat menjadi simbol ketaatan hamba kepada tuhannya. Ketaatan memerlukan latihan supaya terus sebati dalam diri Apabila seseorang itu bersolat, situasi ini menunjukkan bahawa ia berusaha untuk menghindari diri dari api neraka dengan melakukan segala perkara yang telah diperintahkan oleh Allah. Hal ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud:-

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
(At-Taharim 66:6)

2.  Menepati masa

Solat juga dapat melatih manusia untuk menepati masa. Hal ini selaras dengan saranan Islam yang menuntut umatnya supaya solat diawal waktu. Sabda Rasulullah SAW:-

"Solat pada awal waktu dari awalnya mendapat keredhaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan Allah." (Riwayat al-Tirmizi Sahih ibn Hibban no 1475)

Solat 5 waktu juga menjadi satu bentuk latihan yang berperanan sebagai peringatan untuk diri sendiri supaya menjaga waktu solat dan seterusnya solat di awal waktu. Ketika memandu pada waktu Maghrib misalnya, seseorang yang telah menjadikan solat diawal waktu sebagai rutin harian akan mempunyai kesedaran untuk berhenti seketika bagi menunaikan solat. Hal ini adalah implikasi dari latihan yang membentuk pemikiran manusia untuk patuh kepada Allah melalui pelaksanaan solat diawal waktu.

3.  Menunjukkan kesetiaan kepada pemimpin

Solat juga secara simboliknya dapat melatih manusia untuk mematuhi arahan ketua dan menunjukkan kesetiaan kepada pemimpin. Keadaan ini ditunjukkan melalui tuntutan solat berjemaah. Daripada Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda". Riwayat Bukhari dan Muslim. Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:-

“Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan pahala sebanyak 27 darjat”. (HR Bukhari No. 645, Muslim No. 650)

Solat berjemaah memerlukan manusia untuk berdiri dalam saf atau barisan yang lurus di belakang imam dan menuruti segala perbuatan imam secara praktikal. Para makmum juga tidak boleh mendahului imam.

4.  Berorganisasi dalam masyarakat

Malah, solat berjemaah juga melatih manusia berorganisasi di dalam sebuah institusi iaitu masjid. Ketika hendak solat, makmum diminta untuk meluruskan saf. Hal ini merupakan satu bentuk penyatuan masyarakat untuk bekerjasama melakukan ibadah solat berjemaah selain menunjukkan persamaan taraf sebagai hamba Allah tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

5. Fokus dalam setiap perkara

Paling penting, solat turut melatih manusia untuk fokus dalam segala perkara. Perkara ini adalah kesan dari pelaksanaan rukun tertib. Tertib ialah kesinambungan antara satu rukun dengan rukun yang lain. Tertib wajib mempunyai susunan yang teratur setiap perkara yang ditetapkan tanpa boleh didahulukan atau dikemudiankan bermula dari takbir sehingga salam. Rukun tertib ini berperanan sebagai latihan kepada jiwa kita agar sentiasa fokus dan peka dengan disiplin dalam hidup. Mendengar satu persatu bacaan sendiri bermula dari takbir dan semua bacaan pada semua rukun, Kemudian, mendengar  semua bacaan imam termasuk takbir bertukar rukun, otak semestinysa akan memberi tumpuan kepada apa yang didengar walaupun tidak memahami bacaan itu. Manakala penglihatan yang biasanya ‘meliar’ ketika di luar solat, juga otak akan memberi fokus apabila mata terfokus pada tempat sujud sahaja. Proses yang sengaja berusaha kekal melihat pada tempat sujud ini, ini juga dinamakan khusyuk. Dalam perbuatan solat, tumpuan akan bertambah apabila mengimaginasikan Kaabah, serta mengimaginsaikan bentuk-bentuk ayat yang sedang dilafaz ketika solat.
.
Sebagai kesimpulan, dapatlah dirumuskan bahawa menunaikan solat lima waktu bukan hanya sekadar kewajipan yang berfungsi untuk mendekatkan diri seorang hamba dengan penciptanya, tetapi juga mempunyai hubungan rapat dalam mengatur hidup seseorang bagi mengubah dan melatih perlakuan manusia untuk menjadi lebih baik seterusnya membawa kepada salah satu bentuk penyucian jiwa dalam usaha melahirkan insan kamil  yang diredhai Allah.

Kesempurnaan Solat Memantapkan Keperibadian Insan Beriman
Wallahua’lam.

RUJUKAN:-
Jaafar Salleh (2014). Rahsia Vokal dan Pergerakan Solat. Diakses pada 4 April 2015 daripada http://www.addeen.my/index.php/lelaki-wanita/kesihatan/item/158-rahsia-vokal-dan-pergerakan-solat

Majlis Agama Islam Selangor, Khutbah Jumaat 5 Mac 2013: Kepentingan Solat dalam Kehidupan Seharian. Diakses pada 5 April 2015 daripada http://emasjid.jais.gov.my/uploads/uploads/manualkhutbahmultimedia05032013.pdf

Suhari (2010). Nilai- Nilai Pendidikan Ibadah Shalat : Kajian Tafsir al- Mishbah Karya Muhammad Quraish Shihab. Diakses pada 5 April 2015 daripada http://digilib.uin-suka.ac.id/6857/1/BAB%20I%20dab%20BAB%20IV.pdf