Sunday 3 May 2015

Pelaksanaan Latihan Dalam Konteks CSR dari Perspektif Islam

Tugasan Blog SYW501
Oleh : Siti Shafia binti Subrai
P-SM0054/14

Artikel ini ditulis untuk mengutarakan peranan latihan sebagai satu bentuk pengurusan tanggungjawab sosial korporat (CSR). CSR boleh ditakrifkan sebagai tanggunjawab syarikat swasta yang menjalankan sesebuah perniagaan kepada masyarakat yang melangkaui batasan produk dan perkhidmatan. Pengertian CSR dari perpektif Islam pula ialah tanggungjawab sosial sesebuah perniagaan khususnys syarikat swasta terhadap pihak berkepentingan yang terdiri daripada gabungan 3 elemen utama iaitu manusia, keseimbangan alam dan keuntungan. Hal ini dilihat melalui rasa tanggungjawab yang dimiliki oleh sesebuah agensi perniagaan swasta terhadap kesejahteraan masyarakat. Malah ia turut memberi tumpuan untuk kelestarian lingkungan kehidupan di sekelilingnya dalam masa yang sama menjana keuntungan. Kebanyakan syarikat mempunyai cara pelaksanaan CSR mereka yang tersendiri. Lazimnya, syarikat swasta dan agensi- agensi koprat memilih untuk melaksanakan CSR bagi syarikat mereka dengan memberikan sumbangan secara terus di samping memberi sokongan kepada kesejahteraan masyarakat, pendidikan dan lain-lain. Namun demikian, organisasi menganggap latihan adalah sebahagian daripada pelaburan dalam pembangunan sumber manusia demi kepentingan perniagaan (Badrul Aziz Muhammad, 2011).

Salah satu contoh syarikat swasta yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat perniagaan mereka dengan memberi latihan ialah syarikat makanan segera yang terkemuka iaitu KFC. Selain memberi latihan kepada mereka yang berminat untuk berkhidmat dengan KFC, pihak KFC juga melatih dan menerima pekerja dari kalangan orang kelainan upaya (OKU) yang bersama-sama menyertai KFC dalam program komuniti prihatin yang dijalankan oleh syarikat berkenaan. KFC cawangan Sentul Raya di Kuala Lumpur merupakan restoran khusus yang dikendalikan sepenuhnya oleh orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu.


Dari perspektif Islam, pelaksanaan CSR merupakan aplikasi ajaran Islam melalui sifat al Haq iaitu Allah sebagai pemilik yang mutlak dan manusia pula adalah pemilik sementara sebagai penerima amanah.Pelaksanaan CSR melalui pemberian latihan juga mencerminkan aplikasi sifat-sifat mahmudah yang dituntut oleh Islam antaranya ialah adil, amanah, dan ihsan.

Adil
Sifat adil dapat dilihat dalam pelaksanaan CSR melalui keterbukaan dalam memberi latihan kepada golongan OKU. Walaupun OKU adalah golongan minoriti, namun mereka berhak untuk menerima latihan dan bekerja. Hal ini menunjukkan sifat adil dalam pengurusan organisasi perniagaan apabila syarikat korporat mampu meletakkan sesuatu pada tempatnya sebagaimana yang dilakukan oleh pihak KFC untuk berlaku adil kepada komuniti dengan menerima serta melatih orang normal dan golongan OKU sebagai sebahagian daripada warga kerja KFC.

Amanah
Syarikat-syarikat yang mengamalkan CSR perlu.sentiasa memelihara amanah masyarakat dengan mengeluarkan produk yang berkualiti, menghindari penipuan dan memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam mentadbir urus sesebuah organisasi perniagaan. Pihak syarikat juga harus amanah terhadap pekerja-pekerja mereka. Pelaksanaan CSR dengan memberi latihan kepada pekerja dilihat sebagai sebahagian daripada amanah majikan untuk melatih para pekerjanya dalam usaha meningkatkan tahap kecekapan pekerja yang jelas memberi kesan kepada pembangunan diri manusia itu sendiri yang membentuk keseimbangan kerana saling memerlukan dari segi perkembangan ekonomi seterusnya meningkatkan keuntungan dan mengukuhkan jenama syarikat. Di samping itu, latihan yang diberikan juga berperanan untuk mendidik pekerja supaya lebih amanah dalam bekerja juga bekerja untuk memenuhi amanah Allah seperti memberi nafkah kepada keluarga, memenuhi keperluan masyarakat dan sebagainya.

Ihsan
Ihsan adalah melakukan perbuatan baik, tanpa adanya kewajiban tertentu untuk melakukan hal tersebut. Ihsan dilihat sebagai keindahan dan kesempurnaan dalam sistem sosial kerana menjaga kebajikan senua pihak Perniagaan yang berlandaskan sifat ihsan dimaksudkan sebagai perniagaan yang proses niat untuk kebaikan, sikap dan perilaku yang baik, transaksi yang baik, serta berupaya memberikan keuntungan yang lebih kepada pihak-pihak berkepentingan. Islam menganjurkan nilai-nilai kemanusiaan dan perbuatan kebajikan agar amal yang dilakukan memberi nilai tambah dan mengangkat darjat insan sejagat. Pelaksanaan Corporate Social Responsibility (CSR) dengan semangat ihsan akan diperoleh apabila individu atau masyarakat saling bergabung dengan semangat ibadah dan berbuat baik demi meraih redha Allah swt. Dalam konteks latihan, hal ini selari dengan tuntutan Islam yang menyarankan untuk sentiasa berbuat baik dan bersikap prihatin. Keprihatinan syarikat-syarikat swasta yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat dengan memberi latihan dan menerima pekerja OKU khususnya, telah disambut baik oleh pelbagai pihak supaya mencontohi nilai ihsan yang diamalkan dalam pengurusan organisasi mahupun perniagaan.
Kesimpulannya, Islam sangat menyokong pelaksanaan CSR sebagai mekanisma untuk mengatasi masalah sosial seperti pengangguran dengan memberi latihan untuk meningkatkan pembangunan diri insan dan kebolehpasaran dalam pekerjaan seterusnya membantu membela nasib golongan yang memerlukan dan tidak berkemampuan tanpa mengabaikan nilai-nilai agama dalam masa yang sama menjaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia lain di samping memelihara sumber alam demi kepentingan bersama.

Tangan Yang Memberi Lebih Baik Dari Yang Menerima
Wallahualam.


RUJUKAN:-

1. Najmudin Ansorullah SHI, Corporate Social Responsibiliti dari Perspektif Islam. Diakses pada 3 Mei 2015 daripada http://www.pesantrenvirtual.com/index.php?option=com_content&view=article&id=750:corporate-social-responsibility-dalam-perspektif-islam&catid=8&Itemid=103

2. Badrul Aziz Muhammad, 2011.Training at Telekom Malaysia Diakses pada 25 April 2015 daripada http://eprints.utm.my/39160/1/BadrulazizMuhammadMFPPSM2012ABS.pdf