Monday 30 March 2015

Latihan Sebagai Medium Pembangunan Insan

Tugasan Blog SYW501
Oleh : Siti Shafia binti Subrai
P-SM0054/14

Artikel ini ditulis untuk mengupas peranan latihan dalam konteks pembangunan insan. Hal ini selaras dengan definisi latihan yang dikemukakan oleh  Nik Nur Munirah (2010)  iaitu latihan  merupakan  suatu pengalaman pembelajaran  yang bertujuan untuk mencapai perubahan secara relatifnya berkekalan agar kebolehan menjalankan tugas akan bertambah baik. Malah, keperluan terhadap bidang latihan juga dilihat sebagai suatu lapangan utama untuk membangunksn organisasi (Khairun Niza Anuar,t.t.) Hal ini selaras dengan matlamat latihan untuk meningkatkan kemahiran dan tahap pencapaian seseorang seterusnya menggalakkan pembangunan insan yang cemerlang. Situasi ini dapat dilihat melalui nilai-nilai positif yang dapat dipupuk dalam usaha meningkatkan pembangunan insan semasa menjalani latihan. Antaranya :-

1. Pembangunan Sahsiah 

Latihan juga dapat menymbang kearah pembangunan sahsiah terpuji melalui sifat sifat mahmudah seperti hormat- menghormati, bekerjasama dalam pasukan, dan saling membantu antara satu sama lain. Perkara ini seiring dengan firman Allah yang bermaksud:-
“…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”.
(al –Maidah 5:2)

2. Mengamalkan Nilai-Nilai Islam

Latihan  juga mampu menggalakkan penerapan nilai-nilai Islam dalam kalangan pesertanya. Program membudayakan al- Quran umpamanya, dapat melatih para peserta untuk istiqamah dan membiasakan diri lebih rajin membaca al-Quran. Seterusnya,perkara ini dapat membentuk insan yang  membangun dengan al- Quran apabila menjadikannya sebagai paksi dalam melakukan segala perkara  di dalam kehidupan.

3. Cinta Kepada Ilmu

Sikap cinta kepada ilmu  dapat dipupuk  semasa menjalani latihan kerana ia juga merupakan salah satu cabang ilmu yang mampu meningkatkan kemahiran dan kualiti pembangunan insan. Perkara ini sesuai dengan hadis Rasulullah yang bermaksud:-

[HR Al-Bukhari 3/1275 no 3274]
sumber

Melalui penyampaian tazkirah dalam seminar atau kursus latihan, para peserta akan diberikan pengisian rohani dalam latihan yang dijalankan. Santapan rohani dalam menjalani latihan ini juga berperanan sebagai peringatan yang meresap dalam sanubari untuk sentiasa kembali kepada Tuhan dalam setiap perkara yang dilakukan agar senuanya diterima sebagai ibadah kerana Allah.

4. Menjaga masa dan hormati waktu Solat


Pelaksanaan latihan juga menuntut peserta untuk sentiasa menepati masa selaras dengan kehendak Islam yang mengajurkan kita supaya menepati masa. Firman Allah dalam Surah al- Asr yang bermaksud:-

Situasi ini  juga dapat mendidik insan untuk mengurus masa dengan baik di samping sentiasa menjaga dan menghormati waktu solat seterusnya solat di awal waktu bukan sahaja ketika berprogram atau menjalani latihan, tetapi juga semasa menjalankan tugas dalam kehidupan seharian.  Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

Hendakkah aku khabarkan kepada engkau segala urusan, tiangnya dan puncak ketinggiannya? Saya (Mu’adz) berkata: Pasti sahaja wahai Rasulullah! Jawab Rasulullah: Kepala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan puncak ketinggiannya adalah jihad. – Hadith riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Daruquthni dan al-Thabrani bersumberkan daripada Mu'az bin Jabal r.a. Disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi (no. 2616).

Kesimpulannya, daapatlah dirumuskan bahawa, pelaksanaan latihan memainkan peranan yang utama sebagai medium pembangunan insan implikasi dari  disiplin yang terbentuk sebagai tunjang  menjadi pemangkin kepada kemahuan untuk menerapkan  nilai-nilai Islam dalam kehidupan,  membangkitkan semangat cinta kepada ilmu serta bijak dalam mengurus  masa seterusnya menjaga dan menghormati waktu solat dalam segala hal.

Disiplin itu perlu kerana masa amat berharga.
Masa berharga perlu seiring dengan usaha,
Semangat dan usaha semua kerana- Nya,
Barulah terhasil pembangunan insan berwibawa. J
Wallahua’lam.

RUJUKAN:-
Khairun Niza  Mohd Anuar (t.t), Pemindahan Latihan dan Pembangunan Dalam Koperasi. Diakses pada 29 Mac 2014 daripada http://www.mkm.edu.my/documents/10157/bc0a4fca-7ec4-4d6e-9204-71b9fdd6c89f  

Nik Nur Munirah (2010), Rekabentuk Latihan. Diakses pada 29 Mac 2014 daripada http://www.scribd.com/doc/28695587/rekabentuk-latihan-1#scribd

Sunday 22 March 2015

Objektif & Tujuan Pelaksanaan Latihan

Tugasan Blog SYW501
Oleh : Siti Shafia binti Subrai
P-SM0054/14

Artikel ini ditulis untuk menggariskan tujuan-tujuan pelaksanaan sesuatu latihan kepada para pekerja lantaran kakitangan yang serba boleh merupakan tonggak kecemerlangan organisasi di dalam sesebuah institusi, khususnya institusi Islam  Pelaksanaan latihan mempunyai objektifnya yang tersendiri iaitu:-

1.      Meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja.

Latihan bertujuan untuk memberi pengetahuan yang lebih mendalam tentang sesuatu bidang kerjaya seterusnya meningkatkan mutu pekerja  yang berdaya saing dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab mereka. Perkara ini sejajar dengan tuntutan Islam supaya menuntut ilmu termasuklah ilmu dalam bekerja, seperti yang dinyatakan melalui hadis berikut:-

Kemahiran yang dimiliki oleh pekerja hasil dari pelaksanaan latihan merupakan nilai tambah dalam diri yang akhirnya akan menjadi aset berharga bagi sesorang insan. Hal ini dapat menggalakkan para pekerja ke arah yang lebih baik dan menjalankan tugas dengan lebih bertanggungjawab kerana- Nya. Firman Allah yang bermaksud :-

Dialah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; Ia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
 (Al Hadid 57:4)
2.      Membantu pekerja baharu dan pekerja sedia ada untuk menyesuaikan diri dengan kehendak sesuatu kerja baharu dalam organisasi.

Latihan juga berfungsi melatih para pekerja yang sedia ada dan juga pekerja yang baharu berkhidmat untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan kerja berdasarkan jawatan yang disandang. Perkara ini selaras dengan pendapat G. A. Cole (1983), keperluan latihan timbul apabila terdapat kekurangan pengetahuan, kefahaman, kemahiran dan tingkahlaku dalam kalangan pekerja jika dibandingkan dengan kehendak pekerjaan, atau keperluan organisasi akibat dari transformasi. Tambahan pula, latihan dapat mengubah pengetahuan menjadi amalan dalam usaha membiasakan sesuatu perkara mengikut sesuatu skop kerja baharu dalam organisasi.

3.Menyelesaikan Masalah Ummah

Latihan dilihat berfungsi untuk menangani masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Ibrahim (1996) menyatakan bahawa tujuan latihan dilaksanakan adalah untuk mencari penyelesaian masalah yang timbul pada masa kini di samping berperanan untuk menyelesaikan masalah yang mungkin wujud kerana perubahan ke atas produk, sistem dan cara kerja dalam organisasi. Dalam bidang automotif umpamanya, latihan teknikal diberikan kepada para pekerja  yang mempunyai kemahiran yang betul untuk menyelenggara membaikpulih sesebuah kenderaan keluaran syarikat tersebut dengan lebih baik selaras dengan pengeluaran produk terbaharu mereka di samping meyakinkan pelanggan dalam memberi kualiti perkhidmatan terbaik seterusnya menarik minat pengguna untuk terus setia menggunakan kenderaan dari jenama berkenaan.

Dalam institusi Islam, latihan yang diberikan kepada petugas Islam seperti kakitangan di pusat zakat contohnya, kepakaran yang dimiliki ini mampu membantu menyelesaikan masalah pengagihan zakat kepada para asnaf seterusnya memberi manfaat kepada pelbagai pihak. Hal ini selaras dengan hadis yang bermaksud :-

4. Meningkatkan  Prestasi  Organisasi

Latihan yang diberikan kepada para pekerja juga bertujuan meningkatkan prestasi organisasi itu sendiri melalui kecemerlangan reputasinya apabila kecekapan pekerja dapat diperbaiki. Bertitik tolak daripada situasi di atas,  kepercayaan pelanggan dapat diraih seterusnya membawa kepada peningkatan kuantiti dan kualiti output dalam sesebuah organisasi selain menambahkan manfaat dan keuntungan.

Namun begitu, latihan yang bertujuan meningkatkan prestasi organisasi ini boleh diaplikasikan dalam meningkatkan prestasi organisasi dalam institusi  Islam. Institusi masjid misalnya, para jemaah di sesebuah  kariah masjid adalah berperanan sebagai “pekerja’ di masjid berkenaan. Sekiranya komuniti masjid tersebut mengamalkan penjagaan kebersihan yang dituntut oleh Islam sebagaimana hadis berikut :- 

Perkara ini juga memberi imej positif terhadap organisasi di dalam institusi masjid yang mampu menjadi qudwah hasanah kepada masyarakat luar.

Secara tuntas, kepelbagaian tujuan pelaksanaan latihan dapat memenuhi keperluan pembangunan Islam sejagat.

Latihan Berkualiti Melahirkan Institusi Berintegriti
Wallahua’lam.

RUJUKAN:-
Khairunneezam Mohd Noor (2004), Konsep Program Latihan Sumber Manusia, dalam Shamsul Bahri Andi Galigo, Khairunneezam Mohd Noor, Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali, Rozita Abdullah (2004), Membangun Masyarakat Moden yang Berilmu dan Berakhlak, Penerbit USIM: Kuala Lumpur.

Wan Idros Wan Sulaiman (2001). Pembangunan Personalia Dalam Latihan dan Pembangunan: Antara Realiti dan Formaliti Keberkesanan Tugas. Jurnal Komunikasi, No.17 (2001) 81-118

Ibrahim Mamat (1996). Reka Bentuk Dan Pengurusan Latihan : Konsep Dan Amalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kertas Kerja Pengurusan Sumber Manusia MTT2703, Latihan dan Sumber Manusia. Diakses pada 19 Mac 2015 daripada http://sarjana.tripod.com/latihan1.html

Sunday 15 March 2015

Peranan Niat Dalam Latihan

 Tugasan Blog SYW501
Oleh : Siti Shafia binti Subrai
P-SM0054/14

Artikel ini ditulis untuk menjelaskan keperluan niat dalam setiap perbuatan dan amalan seharian khususnya dalam konteks pelaksanaan latihan. Latihan merupakan satu bentuk tugas membimbing manusia untuk meningkatkan kemahiran dalam pelbagai kegiatan yang dilakukan. Dalam skop yang lebih luas, bidang latihan dan pembangunan kini mampu menjadi sumber mata pencarian bagi masyarakat Islam khususnya. Islam juga mentakrifkan kerja sebagai tuntutan yang wajib dilaksanakan bagi meraikan dasar kesamarataan yang diamalkan untuk menghapuskan perbezaan darjat. Situasi ini membolehkan seluruh umat Islam keluar mencari rezeki dari pelbagai sumber bagi meningkatkan taraf hidup. 
Firman Allah yang bermaksud :-
“Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan..”
Surah Al Aaraf 7:10)

Allah juga berfirman:-
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang dan nyata bagi kamu.
(Surah Al Baqarah 2:168)

Dalam firman-Nya lagi yang bemaksud:-
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramal lah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".
(at-Taubah 9 : 105)        

Namun demikian, setiap  pekerjaan harus dimulai dengan niat termasuklah dalam memberi dan menerima latihan. Perkara ini amat perlu kerana niat merupakan  lintasan hati yang menjadi titik tolak untuk mendorong manusia melakukan sesuatu pekerjaan atau amalan. Sabda Rasulullah SAW:- 


Oleh itu, niat menjadi indikator yang menentukan baik dan buruknya sesuatu amal yang dikerjakan. Niat itu mestilah ikhlas kerana Allah seperti yang dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:-
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”
(Surah Al An’am 6:162)

Niat juga mempunyai kepentingannya yuang tersendiri iaitu :-
1.  Menyempurnakan
Niat menentukan sahnya ibadah kerama niat adalah rukun. Tanpa niat, tidak sempurna amalan. Dalam konteks latihan juga perlu disertai dengan niat hanya kerana Allah, pencipta sekalian alam. Niat amat penting bagi menjamin keberkatan dalam setiap pekerjaan. Apabila segala pekerjaan dilakukan kerana Allah, mudah-mudahan segala urusan akan dipermudahkan Allah jua.

  2.     Mengubah
Hanya dengan niat, amal yang baik mampu menjadi buruk dan tidak bernilai disisi Allah. Sebagai contoh, melatih dan menjalani latihan itu adalah perkara yang baik. Namun sekiranya latihan itu dijalani untuk menunjukkan bahawa diri sendiri lebih berkemahiran berbanding manusia lain seterusnya meraih pujian, maka amal atau pekerjaan (latihan) yang sedang dilakukan tidak dikira sebagai kebaikan dan amat dipandang hina oleh Allah.

  3.      Membezakan

Niat dalam amalan berperanan membezakan antara adat dan ibadah. Dalam konteks latihan umpamanya, ia merupakan keperluan dalam budaya kerja kerana setiap pekerja memerlukan latihan untuk membangunkan kerjaya mereka. Lazimnya, pihak majikan menyediakan latihan yang perlu pekerja ikuti. Itu adalah adat. Namun sekiranya latihan itu bertujuan meningkatkan produktiviti kerja demi memenuhi tuntutan Islam untuk bekerja kerana Allah, maka latihan yang dijalani juga akan dikira sebagai ibadah.

 4.      Melipatgandakan

Perbuatan atau kerja yang kecil boleh menjadi besar dan mendapat ganjaran yang berlipat ganda disisi Allah. Dalam konteks  latihan, sekiranya seseorang itu menjalani dan memberi latihan dengan niat untuk saling berkongsi ilmu dan kemahiran serta ia dilakukan semata-mata kerana Allah, yakinlah nilai sumbangannya adalah amat besar pada pandangan Allah.

Oleh itu, setiap umat manusia perlulah memelihara niat dalam setiap amalannya tanpa mengira waktu sama ada sebelum, semasa dan selepas melakukan sesuatu amal atau pekerjaan tersebut. Penekanan terhadap perkara ini mesti diambil perhatian lantaran betapa banyaknya amal yang kecil menjadi besar kerana niat dan betapa banyaknya amal yang besar menjadi kecil kerana niat.

Betulkan niat, sempurnakan ibadat.
Wallahua’lam.

RUJUKAN:-
Solech Machsuni (1991). Konsep Ibadah Dalam Kerja. Diakses pada 8 Mac 2015 daripada http://demimasa2.tripod.com/artikel6

Rushdi Ramli (2010). Nilai Ibadat Dalam Perbuatan- Perbuatan Harus (Al Af 'al al Mubahah): Tinjauan Terhadap Pemikiran Imam Ahmad Ibn Taimiyah. Journal of Fiqh, No. 7 (2010) 149-166

Jamaluddin Halid (2009). Kerja Sebagai Ibadah. Diakses pada 15 Mac 2015 daripada http://www.slideshare.net/guestaeb86d1/kerja-sebagai-ibadah?next_slideshow=1

Monday 9 March 2015

Konsep Latihan Menurut al-Quran

Tugasan Blog SYW501

Oleh : Siti Shafia binti Subrai

P-SM0054/14


Artikel ini ditulis bagi meneliti konsep latihan menurut al-Quran. Hal ini demikian kerana Islam adalah agama sempurna yang meletakkan al- Quran sebagai sumber ilmu bagi panduan hidup manusia. Namun ilmu memerlukan latihan supaya seseorang itu lebih berkemahiran dalam pelbagai aspek kehidupan. Islam mengiktiraf kedudukan ilmu pada tahap yang tinggi. Begitu juga dengan orang yang berilmu dan beramal dengannya akan sentiasa dimuliakan Allah. Oleh itu, latihan amat penting sebagai satu bentuk pendidikan agar ilmu terpelihara yang akhirnya menjadi kebiasaan dan amalan. Ilmu dan amal perlu seiring sebagaimana ungkapan :-

“Ilmu tanpa amal adalah gila dan amal tanpa ilmu adalah sia-sia. “
- Imam Al Ghazali

Walau bagaimanapun, setakat penelitian yang dilakukan tiada konsep khusus tentang latihan di dalam al-Quran. Namun, Allah SWT berfirman yang bermaksud :-


Berdasarkan ayat di atas, Allah memerintahkan hamba Nya supaya membaca al-Quran sebagai satu bentuk latihan yang berperanan untuk mengajak manusia mengenal penciptanya dengan cara membaca secara berulang. Hal ini menunjukkan sifat Allah Yang Maha Mendidik. Selain fungsi membaca sebagai jambatan ilmu, ayat ini juga memainkan peranannya melatih manusia untuk merendah diri sebagai  hamba Allah dengan mengetahui asal-usul kejadiannya seterusnya memupuk rasa bersyukur atas segala nikmat yang telah dikurniakan.

Firman Allah lagi yang bermaksud:-

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi kelapangan dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.
(Al Mujadalah 58:11)

Ayat ini mengangkat keutamaan menuntut ilmu Malah, ayat ini sangat berkait rapat dengan latihan kerana  dapat melatih manusia melazimi majlis ilmu. Selain menggalakkan umat untuk terus menuntut ilmu tanpa lelah dan jemu, ayat ini juga menunjukkan bahawa Allah akan memberi ganjaran darjat yang tinggi kepada sesiapa yang rajin menuntut ilmu. Ganjaran ini berperanan sebagai galakan yang melatih hamba-Nya agar sentiasa istiqamah untuk berbuat demikian kerana Allah.

Allah juga melatih manusia melalui doa dalam firman- Nya yang bermaksud:-
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Al Israa 17:24)

Hal ini dilihat sebagai satu bentuk proses mendidik. Sebagai contoh, anak-anak akan dilatih menghafal dan memahami maksud doa ini sejak kecil lagi untuk diamalkan supaya mereka dapat sentiasa mendoakan ibu bapa. Latihan yang akan menjadi amalan ini diyakini dapat mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang antara anak dan ibu bapa apabila anak-anak sentiasa mendoakan mereka.

Selain itu, Allah juga berfirman dalam surah Ar Rahman yang bermaksud :-

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
(Ar Rahman 55:13)

Pengulangan ayat ini juga merupakan satu bentuk peringatan yang melatih manusia untuk mensyukuri serta mengakui nikmat-nikmat Allah dan tidak mendustakannya. Peluang menuntut ilmu merupakan salah satu nikmat yang harus dimanfaatkan sewajarnya oleh setiap manusia.

Berdasarkan konsep latihan menurut al- Quran yang dibincangkan,  jelaslah bahawa Allah Maha bijaksana dalam mendidik dan mengatur hidup manusia dengan memberi “latihan pengurusan insaniah” kepada hamba-Nya. Situasi ini ditunjukkan melalui perintah Allah supaya mengurus kehidupan dengan ilmu. Hal ini dimulakan dengan  proses untuk  mengenal Tuhan melalui pembacaan secara berulang, galakan untuk menuntut ilmu dan melatih manusia melazimi majlis ilmu di samping melatih manusia untuk sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah melalui amalan berdoa. Situasi ini juga memberi kesan kepada hidup manusia melalui pembentukan nilai-nilai insaniah seperti bersyukur dengan nikmat Allah serta menghormati dan menyayangi ibu bapa implikasi dari perancangan Allah yang amat tersusun.
Wallahua’lam.

RUJUKAN:-
H.I.Shofjan Taftazani,. & Maman Abdurrahman (t.t). Konsep Tarbiyyah Menurut al-Quran; Kajian Semantik Berdasarkan Ayat-Ayat al-Quran

Zakaria Stapa, Noranizah Yusof dan Abdul Fatah Shaharudin (2012) .Pendidikan Menurut al- Quran Serta Peranannya Dalam Memperkasakan Tamadun Ummah. Jurnal Hadhari Special Edition (2012) 7 - 22

Dasar-dasar Konsep Tarbiyah Dalam al-Quran. Diakses pada 5.Mac 2015 daripada http://www.eramuslim.com.my/dasar-dasar-konsep-tarbiah-dalam-al-quran/


Sunday 8 March 2015

Bermulanya di sini...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Saya ingin belajar untuk mahir menulis supaya warkah bisu ini menjadi coretan bermanfaat kepada seluruh ummah ciptaan Allah. Penulisan ini adalah bertujuan untuk memenuhi prasyarat tugasan bagi matapelajaran SYW501 Pengurusan Institusi Pembangunan Islam. Diharapkan agar blog ini mampu menyumbang ke arah penjanaan idea untuk disertasi saya juga, InShaAllah Ameen.

Petang-petang main bola.
Main bola sampai senja,
Segalanya baru bermula,
Mohon tunjuk ajar semua ya J