Monday 9 March 2015

Konsep Latihan Menurut al-Quran

Tugasan Blog SYW501

Oleh : Siti Shafia binti Subrai

P-SM0054/14


Artikel ini ditulis bagi meneliti konsep latihan menurut al-Quran. Hal ini demikian kerana Islam adalah agama sempurna yang meletakkan al- Quran sebagai sumber ilmu bagi panduan hidup manusia. Namun ilmu memerlukan latihan supaya seseorang itu lebih berkemahiran dalam pelbagai aspek kehidupan. Islam mengiktiraf kedudukan ilmu pada tahap yang tinggi. Begitu juga dengan orang yang berilmu dan beramal dengannya akan sentiasa dimuliakan Allah. Oleh itu, latihan amat penting sebagai satu bentuk pendidikan agar ilmu terpelihara yang akhirnya menjadi kebiasaan dan amalan. Ilmu dan amal perlu seiring sebagaimana ungkapan :-

“Ilmu tanpa amal adalah gila dan amal tanpa ilmu adalah sia-sia. “
- Imam Al Ghazali

Walau bagaimanapun, setakat penelitian yang dilakukan tiada konsep khusus tentang latihan di dalam al-Quran. Namun, Allah SWT berfirman yang bermaksud :-


Berdasarkan ayat di atas, Allah memerintahkan hamba Nya supaya membaca al-Quran sebagai satu bentuk latihan yang berperanan untuk mengajak manusia mengenal penciptanya dengan cara membaca secara berulang. Hal ini menunjukkan sifat Allah Yang Maha Mendidik. Selain fungsi membaca sebagai jambatan ilmu, ayat ini juga memainkan peranannya melatih manusia untuk merendah diri sebagai  hamba Allah dengan mengetahui asal-usul kejadiannya seterusnya memupuk rasa bersyukur atas segala nikmat yang telah dikurniakan.

Firman Allah lagi yang bermaksud:-

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi kelapangan dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.
(Al Mujadalah 58:11)

Ayat ini mengangkat keutamaan menuntut ilmu Malah, ayat ini sangat berkait rapat dengan latihan kerana  dapat melatih manusia melazimi majlis ilmu. Selain menggalakkan umat untuk terus menuntut ilmu tanpa lelah dan jemu, ayat ini juga menunjukkan bahawa Allah akan memberi ganjaran darjat yang tinggi kepada sesiapa yang rajin menuntut ilmu. Ganjaran ini berperanan sebagai galakan yang melatih hamba-Nya agar sentiasa istiqamah untuk berbuat demikian kerana Allah.

Allah juga melatih manusia melalui doa dalam firman- Nya yang bermaksud:-
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Al Israa 17:24)

Hal ini dilihat sebagai satu bentuk proses mendidik. Sebagai contoh, anak-anak akan dilatih menghafal dan memahami maksud doa ini sejak kecil lagi untuk diamalkan supaya mereka dapat sentiasa mendoakan ibu bapa. Latihan yang akan menjadi amalan ini diyakini dapat mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang antara anak dan ibu bapa apabila anak-anak sentiasa mendoakan mereka.

Selain itu, Allah juga berfirman dalam surah Ar Rahman yang bermaksud :-

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
(Ar Rahman 55:13)

Pengulangan ayat ini juga merupakan satu bentuk peringatan yang melatih manusia untuk mensyukuri serta mengakui nikmat-nikmat Allah dan tidak mendustakannya. Peluang menuntut ilmu merupakan salah satu nikmat yang harus dimanfaatkan sewajarnya oleh setiap manusia.

Berdasarkan konsep latihan menurut al- Quran yang dibincangkan,  jelaslah bahawa Allah Maha bijaksana dalam mendidik dan mengatur hidup manusia dengan memberi “latihan pengurusan insaniah” kepada hamba-Nya. Situasi ini ditunjukkan melalui perintah Allah supaya mengurus kehidupan dengan ilmu. Hal ini dimulakan dengan  proses untuk  mengenal Tuhan melalui pembacaan secara berulang, galakan untuk menuntut ilmu dan melatih manusia melazimi majlis ilmu di samping melatih manusia untuk sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah melalui amalan berdoa. Situasi ini juga memberi kesan kepada hidup manusia melalui pembentukan nilai-nilai insaniah seperti bersyukur dengan nikmat Allah serta menghormati dan menyayangi ibu bapa implikasi dari perancangan Allah yang amat tersusun.
Wallahua’lam.

RUJUKAN:-
H.I.Shofjan Taftazani,. & Maman Abdurrahman (t.t). Konsep Tarbiyyah Menurut al-Quran; Kajian Semantik Berdasarkan Ayat-Ayat al-Quran

Zakaria Stapa, Noranizah Yusof dan Abdul Fatah Shaharudin (2012) .Pendidikan Menurut al- Quran Serta Peranannya Dalam Memperkasakan Tamadun Ummah. Jurnal Hadhari Special Edition (2012) 7 - 22

Dasar-dasar Konsep Tarbiyah Dalam al-Quran. Diakses pada 5.Mac 2015 daripada http://www.eramuslim.com.my/dasar-dasar-konsep-tarbiah-dalam-al-quran/


No comments:

Post a Comment