Monday 6 April 2015

Solat dan Hubungannya Dengan Latihan Dalam Kehidupan


Tugasan Blog SYW501
Oleh : Siti Shafia binti Subrai
P-SM0054/14


Artikel ini ditulis untuk melihat secara khusus hubungan antara solat dan latihan dalam kehidupan seharian. Solat adalah ibadah agung yang dibuka dengan takbir dan ditutup dengan salam, Solat juga adalah ibadah yang terpenting setelah dua kalimah syahadah. Pada hakikatnya umum mengetahui bahawa solat lima waktu merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat. Kewajipan menunaikan solat lima waktu dinyatakan dalam firman Allah yang berikut :-

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(An-Nisa 104:3)

Terdapat pelbagai sebab turunnya perintah kewajipan bersolat. Sabda Rasulullah yang bermaksud:-

Barangsiapa yang mengerjakan soalat tanpa membaca Ummul Qur’an di dalamnya, maka solatnya masih mempunyai hutang dan tidak sempurna” Tiga kali. Ditanyakan kepada Abu Hurairah,” Kami berada di belakang imam?” Maka dia menjawab, “Bacalah Ummul Qur’an dalam dirimu, kerana aku mendengar Rasulullah bersabda, ‘Allah berfirman, ‘Aku memerintahkan solat antara Aku dengan hamba-Ku, dan hamba-Ku mendapatkan sesuatu yang dia minta. Apabila seorang hamba berkata, ‘Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam.’ Maka Allah berkata, ‘Hambaku memujiku.’ Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Yang Maha pengasih lagi Maha Penyayang.’ Allah berkata, ‘Hambaku memujiku.’ Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Pemilik hari kiamat.’ Allah berkata, ‘Hambaku memujiku.’ Selanjutnya Dia berkata, ‘Hambaku menyerahkan urusannya kepadaku.’ Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Hanya kepada-Mu aku menyembah dan hanya kepada-Mu aku memohon pertolongan.’ Allah berkata, ‘Ini adalah antara Aku dengan hambaku. Dan hambaku mendapatkan sesuatu yang dia minta’. Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Berilah kami petunjuk jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat atas mereka, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula orang-orang yang sesat.’ Allah berkata, ‘Ini untuk hambaku, dan hambaku mendapatkan sesuatu yang dia minta.” (HR. Muslim no. 598)

Solat mempunyai pelbagai hikmah dan fungsinya yang tersendiri.Antara fungsi- fungsi solat adalah sebagai latihan kepada seorang insan untuk:-

1.  Mematuhi peraturan

Solat dapat melatih manusia untuk mematuhi peraturan. Solat menjadi simbol ketaatan hamba kepada tuhannya. Ketaatan memerlukan latihan supaya terus sebati dalam diri Apabila seseorang itu bersolat, situasi ini menunjukkan bahawa ia berusaha untuk menghindari diri dari api neraka dengan melakukan segala perkara yang telah diperintahkan oleh Allah. Hal ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud:-

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
(At-Taharim 66:6)

2.  Menepati masa

Solat juga dapat melatih manusia untuk menepati masa. Hal ini selaras dengan saranan Islam yang menuntut umatnya supaya solat diawal waktu. Sabda Rasulullah SAW:-

"Solat pada awal waktu dari awalnya mendapat keredhaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan Allah." (Riwayat al-Tirmizi Sahih ibn Hibban no 1475)

Solat 5 waktu juga menjadi satu bentuk latihan yang berperanan sebagai peringatan untuk diri sendiri supaya menjaga waktu solat dan seterusnya solat di awal waktu. Ketika memandu pada waktu Maghrib misalnya, seseorang yang telah menjadikan solat diawal waktu sebagai rutin harian akan mempunyai kesedaran untuk berhenti seketika bagi menunaikan solat. Hal ini adalah implikasi dari latihan yang membentuk pemikiran manusia untuk patuh kepada Allah melalui pelaksanaan solat diawal waktu.

3.  Menunjukkan kesetiaan kepada pemimpin

Solat juga secara simboliknya dapat melatih manusia untuk mematuhi arahan ketua dan menunjukkan kesetiaan kepada pemimpin. Keadaan ini ditunjukkan melalui tuntutan solat berjemaah. Daripada Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda". Riwayat Bukhari dan Muslim. Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:-

“Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan pahala sebanyak 27 darjat”. (HR Bukhari No. 645, Muslim No. 650)

Solat berjemaah memerlukan manusia untuk berdiri dalam saf atau barisan yang lurus di belakang imam dan menuruti segala perbuatan imam secara praktikal. Para makmum juga tidak boleh mendahului imam.

4.  Berorganisasi dalam masyarakat

Malah, solat berjemaah juga melatih manusia berorganisasi di dalam sebuah institusi iaitu masjid. Ketika hendak solat, makmum diminta untuk meluruskan saf. Hal ini merupakan satu bentuk penyatuan masyarakat untuk bekerjasama melakukan ibadah solat berjemaah selain menunjukkan persamaan taraf sebagai hamba Allah tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

5. Fokus dalam setiap perkara

Paling penting, solat turut melatih manusia untuk fokus dalam segala perkara. Perkara ini adalah kesan dari pelaksanaan rukun tertib. Tertib ialah kesinambungan antara satu rukun dengan rukun yang lain. Tertib wajib mempunyai susunan yang teratur setiap perkara yang ditetapkan tanpa boleh didahulukan atau dikemudiankan bermula dari takbir sehingga salam. Rukun tertib ini berperanan sebagai latihan kepada jiwa kita agar sentiasa fokus dan peka dengan disiplin dalam hidup. Mendengar satu persatu bacaan sendiri bermula dari takbir dan semua bacaan pada semua rukun, Kemudian, mendengar  semua bacaan imam termasuk takbir bertukar rukun, otak semestinysa akan memberi tumpuan kepada apa yang didengar walaupun tidak memahami bacaan itu. Manakala penglihatan yang biasanya ‘meliar’ ketika di luar solat, juga otak akan memberi fokus apabila mata terfokus pada tempat sujud sahaja. Proses yang sengaja berusaha kekal melihat pada tempat sujud ini, ini juga dinamakan khusyuk. Dalam perbuatan solat, tumpuan akan bertambah apabila mengimaginasikan Kaabah, serta mengimaginsaikan bentuk-bentuk ayat yang sedang dilafaz ketika solat.
.
Sebagai kesimpulan, dapatlah dirumuskan bahawa menunaikan solat lima waktu bukan hanya sekadar kewajipan yang berfungsi untuk mendekatkan diri seorang hamba dengan penciptanya, tetapi juga mempunyai hubungan rapat dalam mengatur hidup seseorang bagi mengubah dan melatih perlakuan manusia untuk menjadi lebih baik seterusnya membawa kepada salah satu bentuk penyucian jiwa dalam usaha melahirkan insan kamil  yang diredhai Allah.

Kesempurnaan Solat Memantapkan Keperibadian Insan Beriman
Wallahua’lam.

RUJUKAN:-
Jaafar Salleh (2014). Rahsia Vokal dan Pergerakan Solat. Diakses pada 4 April 2015 daripada http://www.addeen.my/index.php/lelaki-wanita/kesihatan/item/158-rahsia-vokal-dan-pergerakan-solat

Majlis Agama Islam Selangor, Khutbah Jumaat 5 Mac 2013: Kepentingan Solat dalam Kehidupan Seharian. Diakses pada 5 April 2015 daripada http://emasjid.jais.gov.my/uploads/uploads/manualkhutbahmultimedia05032013.pdf

Suhari (2010). Nilai- Nilai Pendidikan Ibadah Shalat : Kajian Tafsir al- Mishbah Karya Muhammad Quraish Shihab. Diakses pada 5 April 2015 daripada http://digilib.uin-suka.ac.id/6857/1/BAB%20I%20dab%20BAB%20IV.pdf


No comments:

Post a Comment