Tuesday 17 November 2015

Akauntabiliti dan Hubungannya Dengan Pembangunan Insan

Oleh: Siti Shafia Subrai

Artikel ini bertujuan untuk memperjelas tentang hubungan antara nilai akauntabiliti dan pembangunan insan dalam kehidupan. Penelitian diberikan kepada dua aspek utama iaitu aspek-aspek yang ditekankan dalam pembangunan insan dan  pendekatan untuk memupuk nilai akauntabiliti dalam  pembangunan insan.

Abdul Rahman Embong (2007) menyatakan pembangunan insan dapat difahami maksud pemerkasaan insan sebagai individu dan sebagai anggota masyarakat. Sementara itu, akauntabiliti dari perspektif lazim dapat didefinisikan sebagai Akauntabiliti merupakan satu prinsip melibatkan individu yang berkuasa dikawal kuasa oleh peraturan dan norma yang berada di dalam mahupun luaran organisasinya (Chandler& Plano, 1988). Menurut Muhamad Ali Embi (2003), pencapaian akauntabiliti tidak akan terlaksana dengan adanya pelbagai peraturan dsn prosedur yang ketat. Sebaliknya, ia bergantung kepada garis panduan yang dibentuk untuk mencapai objektif yang ditetapkan. Akauntabiliti menurut Islam pula melihat setiap muslim bertanggungjawab terhadap segala perkara dan amalan yang dilakukan terhadap Allah (SWT) (Syed Omar Syed Agil, 1994). Hal ini adalah  berpaksikan ayat al- Quran yang bermaksud :-
“Sesiapa yang berbuat kebaikan, meskipun sebesar zarah akan dilihatnya balasan kebaikan itu dan sesiapa yang melakukan kejahatan meskipun seberat zarah, akan dilihatnya balasan kejahatan itu (dalam catatan amalnya).”
(Az- Zalzalah 99:7-8)

Berdasarkan Syed Omar Syed Agil (1994) lagi, ayat al-Quran ini merumuskan tiga ciri akauntabiliti dalam Islam iaitu:
1. Setiap insan mempunyai akauntabiliti terhadap sebarang perbuatan baik buruk yang dilakukan  tanpa mengira sama ada ia nyata dan tersembunyi mahupun perkara kecil atau besar .
2. Akauntabiliti setiap amalan hanyalah kepada Tuhan iaitu Allah SWT
3. Setiap amalan baik akan diberi ganjaran manakala amalan buruk juga diberikan balasan yang setimpal dengan perbuatannya sebagai hukuman dan pengajaran kepaada insan itu sendiri.
Hal ini menbuktikan bahawa manusia tidak boleh lari dari pengawasan Allah SWT lantaran konsep ganjaran dan hukuman tidak hanya diamalkan dalam konteks kehidupan di dunia tetapi juga di akhirat nanti berdasarkan perhitungan Allah SWT Yang Maha Adil. Oleh itu, pengkaji memahami akauntabiliti dari sudut pandangan Islam adalah setiap insan dipertanggungjawabkan ke atas baik buruk perbuatannya di  hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak.

Nilai akauntabiliti ini boleh diterapkan melalui tiga aspek berikut.:-

1. Aqidah
Dalam aspek ini, nilai akauntabiliti dapat membawa kepada pengukuhan aqidah insan. Keyakinan terhadap Allah yang Maha Berkuasa ini selari dengan sifat Allah SWT iaitu wujud dan salah satu daripada nama-nama Allah iaitu Yang Maha Melihat. Menerusi nilai akauntabiliti, seseoramg insan akan menyedari bahawa Allah itu wujud dan setniasa melihat setiap gerak-geri hamba- Nya. Firman Allah yang bermaksud:-
Dialah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; Ia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

(Surah al- Hadid: 57:4)
Hal ini akan membawa kepada proses mengenal Allah sebagai pencipta sekalian alam seterusnya mempamerkan keagungan Allah SWT. Tambahan pula, kekuasaan Allah yang luas tanpa batasan juga menimbulkan rasa takut kepada Allah yang Maha Besar. Justeru, setiap insan harus taat setia dan bergantung harap kepada-Nya.

2.. Ibadah
Dalam aspek ibadah, kauntabiliti yang ditujukan semata-mata kerana Allah juga mempengaruhi kualiti sesuatu ibadah tersebut. Akauntabiliti atau rasa tanggungjawab terhadap Allah ini memberi impak yang positif selaras dengan tujuan  hidup dan penciptaan manusia iaitu beribadah kepada_Nya. Oleh itu pembangunan insan dapat dipupuk apabila adanya usaha pemantapan ibadah seperti  berusaha untuk solat di awal waktu, cuba untuk mengekalkan khusyuk dalam solat di samping meletakkan sandaran bahawa setiap perbuatan manusia dilakukan semata-mata kerana Allah melalui niat dalam perbuatan tersebut.

3. Akhlak
Dari sudut akhlak, akauntabiliti dapat memupuk pembangunan insan melaui sifat amanah yang juga selari dengan salah satu sifat wajib bagi rasul melalui penanaman sifat amah dalam menjalankan setiap tugas.Sifat sabar juga merupakan cerminan akhlak yang baik apabila seseorang insan mengamalkan sifat sabar dalam kehidupannya. Contohnya, seseorang insan semengnya dianjurkan untuk bersabar dalam mematuhi setiap  peraturan dan perlu bersabar dalam menjauhi larangan Allah dan Allah tetap memberi ganjaran yang setimpal. Firman – Nya:-
Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bersabar
(Surah al Baqarah: 2:153)

 Akauntabiliti juga mendorong seseorang insan bekerjasama dan lebih bertoleransi dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab dalam sesebuah organisasi.

Oleh itu, mekanisme pemupukan akauntabiliti  adalah dengan proses tazkiyyatun nafs. Fadzila Azni Ahmad (2013) menyatakan proses penyucian jiwa boleh dilaksanakan melalui tiga proses utama iaitu, bermula dengan proses Takhalli iaitu proses menyingkirkan sifat-sifat yang keji dalam diri. Seterusnya diikuti dengan proses Tahalli iatu proses pengisian jiwa dengan  mengamalkan sifat-sifat terpuji. Sekiranya kedua-dua perkara tersebut dilaksanakan dengan penuh berdisiplin dan semangat juang yang berterusan (istiqamah), hal ini akan menimbulkan  rasa kehambaan dalam diri individu yang dikenali sebagai Tajalli. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2002), kesungguhan yang kuat dalam proses tazkiyah al-nafs ini akhirnya akan membentuk sahsiah terpuji yang unggul bukan sahaja kepada Allah SWT  dan kepada manusia serta makhluk  yang sekurang-kurangnya mempunyai iman ayyan dan nafsumutmainnah sebagai paksi kekuatan jiwa. Justeru, peranan proses tazkiyyatunnafs sebagai mekanisme terbaik pemupukan nilai akauntabiliti dalam pembangunan insan diyakini dapat melahirkan insan budiman yang dapat memberi manfaat kepada agama bangsa dan negara berpaksikan ajaran Islam.

Sebagai kesimpulannya, akauntabiliti bukan sekadar nilai positif yang perlu diamalkan dalam hal-hal mentadbir urus kehidupan tetapi juga berperanan penting dalam memacu pembangunan insan  kea rah pemantapan aqidah, ibadah dan akhlak yang lebih baik. Perkara ini adalah penting demi mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat seterusnya mendapat keredhaan Allah SWT.

Akauntabiliti Memantapkan Kualiti Insan Terpuji.

Bibilografi :-
Fadzila Azni Ahmad (2013). Konsep Pengurusan Institusi Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Syukri Salleh (2002). Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Ab Aziz  Mohd Zin (2010) Pembangunan Insan Melalui Pemerkasaan Dakwah. Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Muhamad Ali Embi (2003) Konsep asas Pengurusan Sumber Manusia: Penggunaan Konsep. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Syed Omar Syed Agil (1994). Sistem Akauntabiliti Dalam Pengurusan Islam.Kuala Lumpur. Institut Perkembangan Minda.
Chandler, Ralph C. & Plano Jack C., (1988). The Public Administration Dictionary2nded California.ABC-CLIO.

No comments:

Post a Comment